Penyusutan dolar Amerika berterusan sehingga ke sesi Eropah selepas ditekan oleh peningkatan dalam pasaran saham berikutan sentimen positif pasaran susulan kelulusan pakej rangsangan coronavirus AS.
Belum hilang lagi keterujaan pasaran susulan Presiden Donald Trump menandatangani pakej rangsangan bernilai $2.3 trilion pada hari Isnin, Dewan Perwakilan Amerika Syarikat pula meluluskan rang undang-undang untuk meningkatkan bantuan cek dari $600 kepada $2,000.
Hal ini telah meningkatkan lagi sentimen pasaran untuk beralih kepada matawang berisiko dan melepaskan pegangan terhadap safe-haven.
Pasaran kini menantikan keputusan daripada Senat yang dilaporkan akan mengadakan undian mengenai rang undang-undang untuk meningkatkan bantuan rangsangan pada hari Selasa (waktu AS).
Berbanding kebanyakan matawang utama, US dolar didagangkan rendah di sekitar paras harga 90.00, menghampiri tahap terendah 2 setengah tahun, iaitu 89.273 yang dicapainya sebelum ini.
Matawang euro melonjak tinggi pada 1.225000 berbanding US dolar sebelum mengurangkan sedikit keuntungannya pada awal sesi Eropah.
Sementara matawang pound pula mula meraih kekuatan untuk meningkat di atas paras harga 1.35000 berbanding US dolar ketika pasaran masih berhati-hati menjelang undian Parlimen UK ke atas perjanjian perdagangan Brexit pada Rabu.
Negara-negara anggota Kesatuan Eropah (EU) telah memberi persetujuan untuk perlaksanaan sementara terhadap perjanjian yang dicapai pada minggu lalu.
Di sisi lain, dolar Aussie dan kiwi pula terus mengatur langkah untuk mendaki lebih tinggi, dibantu oleh sentimen positif pasaran.