Dolar greenback didagangkan stabil setelah mencatatkan penyusutan berbanding kebanyakan matawang utama pada sesi dagangan sebelum ini di tengah-tengah ketidakpastian terhadap pakej rangsangan AS.
Pada hujung minggu, Speaker Dewan Nancy Pelosi telah memberikan tempoh 48 jam kepada White House. Menurut beliau, sekiranya mereka ingin menyelesaikan sesuatu sebelum pilihan raya, ia mesti dilakukan pada Selasa.
Walaupun Presiden Donald Trump turut menekan untuk mencapai kesepakatan tetapi penjualan dalam pasaran saham menunjukkan bahawa pelabur tidak yakin bahawa akan ada sokongan yang kuat dalam Kongres untuk menyokong rangsangan baru.
Peluang lain untuk mendapatkan kelulusan Kongres adalah dengan pakej bantuan yang lebih rendah, tetapi ia tidak mungkin akan diterima oleh Demokrat.
Sekiranya masih tiada apa yang berlaku selepas tempoh yang diberikan Pelosi, sentimen risk-off mungkin akan menguasai pasaran dan menyebabkan penjualan ketara saham global.
Permulaan dagangan hari ini memperlihatkan matawang euro bertahan di sekitar $1.17752 berbanding US dolar, setelah meraih kenaikan 0.44% pada sesi sebelum ini.
Sementara pound sterling kembali susut setelah memperoleh keuntungan kecil yang dibuat ketika sesi sebelum ini selepas UK mengatakan bahawa pintu masih terbuka sekiranya Kesatuan Eropah (EU) ingin berkompromi, tetapi jika tidak, maka tiada perjanjian akan dibuat.
Perunding utama EU dan Britain, Michel Barnier dan David Frost, telah meneruskan perbincangan melalui panggilan telefon pada hari Isnin walaupun selepas Perdana Menteri UK Boris Johnson mengatakan tidak ada gunanya lagi meneruskan rundingan.