Calon Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden mendedahkan enam pegawai yang akan memegang portfolio penting dalam pentadbirannya kelak.
Lapor Reuters, Avril Haines akan menjadi wanita pertama yang memegang jawatan Pengarah Perisikan Nasional dan Alejandro Mayorkas bakal dilantik untuk mengetuai Jabatan Keselamatan Dalam Negeri.
Selain itu, Antony Blinken dilantik sebagai Setiausaha Dalam Negara; Biden pula melantik John Kerry sebagai wakil perubahan iklim; Jake Sullivan dilantik menjadi Penasihat Keselamatan Nasional White House manakala Linda Thomas-Greenfield akan memegang portfolio sebagai Duta AS ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Biden dijangka mengumumkan pelantikan Janet Yellen sebagai Setiausaha Perbendaharaan.
Kesemua pelantikan itu bagaimanapun masih perlu mendapatkan kelulusan daripada Senat.
“Amerika sudah kembali dan bersedia untuk mengetuai dunia, tidak akan berganjak daripadanya,” kata Biden.
Tambah Biden, beliau menekankan keperluan untuk membina semula pakatan serta menangani coronavirus dan perubahan iklim.
Dalam pada itu, Biden berkata beliau dalam perancangan untuk bertemu dengan pasukan petugas khas Covid-19 di White House berhubung pengedaran dan akses vaksin.
Presiden AS, Donald Trump telah bersetuju mengenai langkah peralihan kuasa perlu dimulakan dan Biden dibenarkan untuk menerima taklimat berkenaan maklumat sulit perisikan.
Di samping itu, Biden juga dibenarkan untuk menerima taklimat harian Presiden terutamanya perkembangan terkini mengenai ancaman dan pembangunan antarabangsa selain akses terhadap pegawai kerajaan tertinggi serta dana jutaan dolar menjelang lantikan rasminya pada 20 Januari depan.
Baru-baru ini, negeri Pennsylvania dan Michigan mengesahkan kemenangan Biden.