Bakal Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden memilih Jeneral Lloyd Austin yang sebelum ini mengetuai tentera AS di Timur Tengah ketika pemerintahan Barack Obama, sebagai Setiausaha Pertahanan.
Austin merupakan golongan berkulit hitam yang pertama memegang portfolio berkenaan, sekali gus mengetepikan calon utama yang disebut-sebut sebelum ini iaitu Michelle Flournoy.
Bagaimanapun, pencalonannya bakal menerima kecaman daripada beberapa pihak memandangkan peranannya sebagai ahli lembaga pengarah di sejumlah syarikat termasuklah firma pembuat senjata, Raytheon Technologies Corp.
Biden yang bakal dilantik secara rasmi pada 20 Januari kelak, mengumumkan anggota pasukan kesihatannya bagi menangani isu pandemik coronavirus yang kian meruncing di negara itu.
Beliau memilih Peguam Negara California, Xavier Becerra sebagai Setiausaha Kesihatan dan Perkhidmatan Kemanusiaan serta Dr. Rochelle Walensky untuk mengendalikan Pusat Kawalan dan Pencegahan (CDC) AS.
Sementara itu, Dr. Anthony Fauci dinamakan sebagai ketua penasihat perubatan untuk Covid-19.
Selain itu, Biden melantik Jeff Zients sebagai penasihat ekonomi yang dikenali kerana kemahiran pengurusannya yang baik dan beliau ditugaskan untuk mengawasi operasi mengedarkan ratusan juta dos vaksin baharu.