UK kembali merekodkan pemulihan dalam data jualan runcit yang menunjukkan peningkatan ketara pada Mei setelah negara itu beransur-ansur melonggarkan sekatannya dari krisis coronavirus.
Data rasmi menunjukkan jumlah penjualan pada bulan Mei melonjak sebanyak 12% daripada penurunan terburuk 18% yang direkodkan pada April, jauh meninggalkan jangkaan pasaran untuk kenaikan 6.3%.
Gabenor Bank of England (BOE), Andrew Bailey berkata ketika mesyuarat polisi pada Khamis, bahawa kemerosotan ekonomi yang dialami UK mungkin lebih baik pada separuh pertama tahun ini daripada dijangkakan pada bulan lalu, walaupun tidak menunjukkan pemulihan yang kuat.
Britain menutup sektor perniagaan yang tidak penting daripada orang ramai pada akhir Mac, dan mula melonggarkan beberapa sekatan pada pertengahan Mei mengikut syarat-syarat yang ditetapkan.
Sementara itu, pinjaman bersih sektor awam yang melonjak untuk menampung peningkatan besar perbelanjaan kerajaan, telah mencecah sebanyak £55.2 bilion pada Mei. Ini merupakan rekod tertinggi setelah bacaan pada bulan April yang disemak semula dicatatkan sebanyak £48.5 bilion dari anggaran awal £62.1 bilion.
Hutang sektor awam meningkat 100.9% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) untuk pertama kalinya sejak 1963.
Pada bulan April dan Mei, dua bulan pertama tahun kewangan semasa, jumlah pinjaman kerajaan meningkat kepada £103.7 bilion, iaitu £87 bilion lebih banyak berbanding tempoh yang sama tahun lalu.