Emas terjun lebih rendah ketika sentimen pasaran terus disokong oleh harapan terhadap perkembangan positif vaksin yang akan membantu pemulihan ekonomi global lebih cepat daripada dijangkakan.
Pada permulaan dagangan awal minggu sesi Asia, emas diperdagangkan rendah pada $1,765 per auns, sementara niaga hadapan emas susut pada $1,768 per auns (11.00 pagi waktu Malaysia).
Logam berharga itu sebelum ini telah menembusi paras sokongan $1,800 dengan menjunam pada $1,774 per auns ketika sesi dagangan New York pada hari Jumaat.
Selepas mencatatkan kejatuhan sekitar 5% pada bulan November, ini akan menjadi bulan terburuk bagi komoditi itu sejak November 2016.
Walaupun jumlah kes coronavirus global telah melebihi angka 60 juta dan krisis pandemik masih menjadi ancaman terbesar bagi ekonomi dunia, namun perkembangan terkini mengenai vaksin telah mendorong pelabur untuk melepaskan pegangan safe-haven.
Amerika Syarikat, UK dan Eropah kini berusaha untuk mendapatkan kelulusan vaksin dari Pfizer-BioNTech, Moderna dan AstraZeneca sebelum akhir tahun ini untuk digunakan secara meluas.
Sementara itu, data PMI pembuatan dan perkhidmatan dari China yang memberangsangkan turut memberi tekanan buat dagangan emas pada sesi Asia hari ini.