Ekonomi Britain kembali berkembang untuk pertama kalinya sejak berlakunya pandemik Covid-19 yang mengakibatkan banyak perniagaan dan aktiviti ekonomi terkesan akibat perlaksanaan sekatan oleh kerajaan.
Menurut data yang dikeluarkan oleh Pejabat Statistik Negara (ONS) berdasarkan anggaran terkini, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) UK meningkat 1.8% pada bulan Mei, setelah mengalami penguncupan 20.3% pada bulan sebelumnya.
Ini menunjukkan pembukaan semula beberapa perniagaan dan sektor perkilangan di UK secara beransur-ansur pada pertengahan Mei telah membantu ekonomi negara untuk meningkat.
Walau bagaimanapun, pengembangan ini dilihat masih lemah jika dibandingkan dengan jangkaan pasaran yang mengunjurkan untuk meningkat 5.5% pada bulan Mei.
Sementara itu, bagi dalam tempoh tiga bulan yang berakhir hingga Mei, ekonomi UK direkodkan merosot sebanyak 19.1% iaitu lebih tinggi daripada jangkaan untuk penguncupan 17.4%.
Setakat hari ini, lebih 44,000 orang telah terkorban akibat wabak coronavirus di Britain, menjadikannya mempunyai jumlah kematian tertinggi di Eropah. Sementara jumlah keseluruhan kes pula direkodkan lebih 290,000.
Kerajaan UK telah melaksanakan sekatan yang menyebabkan kesemua perniagaan yang dikategorikan sebagai tidak penting terpaksa ditutup pada 23 Mac. Pada Mei, Presiden Boris Johnson mengumumkan untuk melonggarkan sekatan dan membenarkan beberapa sektor dibuka semula.