MicroStrategy sekali lagi membeli sebanyak 29,646 BTC pada nilai $21,925 per syiling dengan jumlah keseluruhan mencecah $650 juta.
Pembelian itu diumumkan semalam menerusi kicauan akaun Twitter CEO MicroStrategy, Michael Saylor ketika berlaku penarikan semula harga aset Satoshi Nakamato pada harga $22,247.
Pada awal Disember, firma itu telah mengumumkan dalam perancangan untuk membeli Bitcoin menggunakan hasil penawaran sekuriti berjumlah $400 juta.
Ini membawa jumlah keseluruhan pemilikan Bitcoin firma tersebut sebanyak 70,470 BTC sebagai pemilik Bitcoin kelima terbesar, mengatasi pentadbiran Amerika Syarikat (AS) yang memiliki sekitar 69,420 BTC.
MicroStrategy mula membuat pelaburan Bitcoin pada Ogos lalu dengan pembelian sebanyak 21,000 BTC pada harga $250 juta. Ketika itu, pihak mereka menjelaskan akan menjadikan Bitcoin sebagai aset rizab utama, pelindung terhadap inflasi greenback.
Pada September, firma itu sekali lagi membuat pembelian Bitcoin pada harga keseluruhan $425 juta menerusi Coinbase.
Terbaru, Saylor telah membalas kicauan pengasas Tesla dan SpaceX, Elon Musk dengan menyokong figura itu untuk membuat pelaburan dalam Bitcoin, menggantikan dolar AS sebagai aset rizab utama.
Jelas Saylor lagi, jika Musk bertindak demikian tidak mustahil beberapa firma S&P 500 turut membuat perkara yang sama yang mana akan mendorong lebih banyak keuntungan.