Komoditi hitam didagangkan bercampur-campur pada hari Jumaat di tengah-tengah perdagangan yang tenang ketika sesi pasaran Asia berikutan cuti ‘Thanksgiving Days’ di Amerika Syarikat.
Setelah meraih keuntungan besar untuk meningkat ke paras tertinggi 8 bulan, WTI Amerika Syarikat jatuh lebih 1% susulan terdapat tanda-tanda perpecahan di kalangan anggota OPEC+ menjelang beberapa hari sebelum mesyuarat dasar pada minggu depan.
Pada sesi Asia, niaga hadapan minyak mentah WTI Amerika Syarikat susut 1.6% kepada $44.98 setong, manakala minyak mentah Brent pula didagangkan stabil pada $47.80 setong.
Walaupun kebanyakan penganalisis meramalkan OPEC+ akan menangguhkan rancangan meningkatkan pengeluaran sehingga suku pertama tahun depan, tetapi terdapat kemungkinan akan berlaku penangguhan lebih pendek berikutan penentangan Emiriah Arab Bersatu dan Iraq yang ingin meneruskan penjualan minyak untuk menyokong ekonomi.
Harga minyak telah meningkat sekitar 7% pada minggu ini disokong oleh perkembangan positif mengenai vaksin coronavirus yang mungkin akan mula tersedia akhir tahun ini, meningkatkan prospek yang lebih cerah terhadap pemulihan permintaan global.
Pada hari Khamis, Presiden OPEC memberitahu kumpulan itu supaya tetap berhati-hati dengan data dalaman yang menunjukkan risiko lebihan minyak baru pada awal tahun depan jika pengeluaran meningkat pada Januari.
Kenyataan itu dikeluarkan selepas wakil pemimpin Iraq mengkritik kumpulan itu mminggu ini, mengatakan keadaan ekonomi dan politiik negara-negara anggota perlu diambilkira sebelum mereka diminta menyekat pengeluaran.