Dewan Perwakilan Amerika Syarikat akhirnya meluluskan pakej bantuan coronavirus bernilai $900 bilion sebagai salah satu usaha kerajaan untuk membantu menyokong ekonomi dan rakyat yang terjejas akibat pandemik coronavirus.
Ketika proses pengundian berlangsung pada pagi ini (waktu Malaysia), para penggubal dasar juga meluluskan langkah rangsangan $1.4 trilion untuk membiayai kerajaan selama satu tahun lagi.
Kedua-dua rang undang-undang yang telah diluluskan itu akan dihantarkan kepada Senat AS untuk diundi, yang mana ia juga dijangka bakal mendapat kelulusan dengan mudah.
Sekiranya diluluskan oleh Senat, ia kemudiannya akan diserahkan kepada Presiden Donald Trump untuk ditandatangani dan bertukar menjadi undang-undang.
White House sebelum ini ada mengatakan bahawa Presiden Trump bersedia untuk menandatangani rang undang-undang tersebut.
Rang undang-undang tersebut merangkumi pembayaran langsung sebanyak $600 serta bayaran tambahan sebagai bantuan pengangguran kepada rakyat Amerika yang terkesan.
Pasaran bagaimanapun kurang terkesan dengan berita mengenai kelulusan ini dengan kebanyakan matawang utama hanya mempamerkan sedikit perubahan dalam dagangan sesi Asia.