Dagangan komoditi hitam gagal mengekalkan pengukuhannya walaupun data inventori minyak mentah Amerika Syarikat oleh Pentadbiran Tenaga Maklumat AS (EIA) menunjukkan penurunan ketara pada minggu lepas.
Bekalan minyak mentah AS dilaporkan menurun dengan ketara pada minggu lalu sebanyak 9.4 juta tong, jauh lebih banyak daripada kejatuhan pada minggu sebelumnya dan jangkaan untuk penurunan 2 juta tong.
Penanda aras minyak mentah WTI Amerika Syarikat didagangkan menyusut 17 sen kepada $41.43 setong, sementara minyak mentah Brent menurun 20 sen kepada $44.23 setong.
Sebelum ini, kedua-dua penanda aras mencatatkan kejatuhan lebih 2% pada sesi New York berikutan data turut menunjukkan kemerosotan permintaan petrol di Amerika Syarikat pada minggu lalu.
Kejatuhan yang ditunjukkan dalam bekalan minyak mentah AS mungkin didorong oleh pengurangan pengeluaran dan penutupan kemudahan pemprosesan minyak akibat Taufan Laura.
Selain itu, laporan pekerjaan ADP AS yang menunjukkan bacaan lebih lemah daripada diunjurkan juga telah menambah kebimbangan terhadap pemulihan ekonomi, sekali gus turut mempengaruhi dagangan komoditi hitam itu.
Dalam pada itu, Iraq dilaporkan mungkin akan memohon lanjutan selama 2 bulan untuk melaksanakan pemotongan tambahan pengeluaran seperti yang dituntut dalam perjanjian OPEC+.