Sentimen pasaran kekal bercampur-campur sehingga ke penghujung minggu gagal memberi isyarat jelas buat pelabur untuk dagangan kewangan serta komoditi.
Dagangan emas menuju penghujung minggu bergerak menurun selepas harga gagal melepasi paras penting $1900 pada cubaan kenaikan di awal minggu.
Pada carta XAU/USD yang mengukur nilai emas berbanding US dolar, harga semakin menunjukkan penurunan pada dagangan yang bersambung ke sesi Eropah hari ini menuju ke paras sokongan 1850.00.
Pelabur sudah mula melihat isyarat awal penurunan lebih rendah harga pada sesi New York semalam apabila kenaikan harga gagal melepasi paras halangan Moving Average 50 (MA50) pada rangka masa 1 jam.
Seterusnya harga menutup dagangan lebih rendah di bawah paras sokongan 1875.00 sebelum penurunan terus disambung pada hari ini.
Penurunan harga dilihat lebih didorong oleh pengukuhan US dolar yang turut memberi tekanan terhadap dagangan mata wang utama yang lain.
Walaupun begitu, pelabur tetap ragu-ragu terhadap sentimen pasaran yang masih bercampur-campur di antara perkembangan vaksin dan juga peningkatan kes jangkitan virus yang semakin buruk.
Jika penurunan harga lebih rendah melepasi 1850.00, paras sokongan seterusnya akan dilihat pada paras penting 1800.00 sebelum ini.
Namun jika harga membuat lonjakan, paras 1875.00 serta resistance 1900.00 akan menjadi paras tumpuan harga.
Lihat gambar carta harga XAU/USD di bawah untuk rujukan analisis teknikal anda.