Permulaan dagangan sesi Asia hari ini menyaksikan matawang utama kembali meningkat setelah menjunam dengan drastik ketika sesi New York sebelum ini yang turut memperlihatkan lonjakan ketara dolar greenback.
Hal ini pasti mengejutkan para pelabur yang sedang bergembira dengan perkembangan positif mengenai vaksin Covid-19 sehingga mendorong kebanyakan matawang utama lebih tinggi pada Isnin.
Bagaimanapun, kejutan daripada data PMI pembuatan dan perkhidmatan AS yang berkembang dengan kadar paling pantas pada bulan November walaupun berdepan peningkatan kes coronavirus sehingga memaksa negara mengenakan beberapa sekatan baru, telah memacu lonjakan drastik buat US dolar.
Selain itu, kejatuhan ketara matawang utama pada sesi sebelum ini juga mungkin disebabkan oleh para pelabur yang ingin mengambil keuntungan setelah ia didagangkan tinggi ketika sesi Asia dan Eropah.
Matawang euro yang berjaya menyentuh paras harga 1.1900 berbanding USD ketika sesi New York walaupun dengan bacaan data yang bercampur-campur kembali menjunam lebih rendah susulan kebangkitan semula dolar greenback.
Pound sterling turut memaparkan penurunan namun kekal didagangkan mengukuh disokong oleh data PMI yang kuat dan keyakinan terhadap rundingan perdagangan Brexit akan dapat dicapai minggu ini.
Pada sesi Asia, matawang berisiko kembali meraih keuntungan berikutan meningkatnya optimisme terhadap laporan bahawa Presiden terpilih Joe Biden yang dijangka akan melantik bekas Pengerusi Federal Reserve (Fed), Janet Yellen sebagai Setiausaha Perbendaharaan AS yang baru.
Turut menyokong sentimen pasaran, Presiden Donald Trump membenarkan peralihan secara rasmi untuk Biden mengambil alih White House, menandakan bahawa ketidakpastian dalam politik semakin berkurang.