Dagangan safe-haven yen kembali melonjak setelah Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe dilaporkan akan meletakkan jawatan berikutan masalah kesihatan yang dialami beliau bertambah buruk.
Yen, sebelum ini didagangkan lemah susulan peningkatan dalam hasil perbendaharaan AS ke paras tertinggi dan kenyataan pembantu Abe yang memadamkan spekulasi mengenai perletakan jawatan beliau.
Matawang yen dianggap sebagai safe-haven berdasarkan status Jepun sebagai negara pemiutang terbesar dunia. Penganalisis berpendapat bahawa lonjakan matawang itu adalah disebabkan ketidakpastian politik yang menyebabkan pelabur Jepun meningkatkan pegangan terhadap yen.
Selain itu, pengukuhan safe-haven yen turut disokong oleh jangkaan pasaran yang menjangkakan bahawa era ‘Abenomics’ akan berakhir dengan pengunduran Abe.
Abenomics yang diperkenalkan Shinzo Abe sejak perlantikan kali kedua beliau pada 2012 merangkumi tiga pelan utama dengan pelonggaran monetari berskala besar, polisi fiskal dan strategi pertumbuhan ekonomi bagi menghidupkan semula ekonomi terbesar dunia itu.
Dengan kerjasama bersama Bank of Japan (BOJ) dalam melaksanakan program rangsangan besar-besaran melalui perbelanjaan kerajaan yang signifikan dan pelonggaran kuantitatif, ia telah mengangkat sentimen perniagaan dan melemahkan yen sekali gus membantu pemulihan kadar pengangguran dan pertumbuhan ekonomi Jepun.
Dalam pada itu, kelemahan US dolar turut membantu pengukuhan matawang yen Jepun.
USD kembali didagangkan lebih rendah setelah melonjak dengan ketara pada sesi sebelum ini yang disokong oleh lonjakan dalam hasil perbendaharaan AS dan kemungkinan bahawa pelabur mengambil keuntungan dahulu setelah pengumuman mengenai perubahan dalam sasaran inflasi Federal Reserve.
Pada sesi Eropah, dolar greenback menjunam 0.7% pada 92.33 berbanding sekumpulan matawang utama.