Perlumbaan dalam membangunkan vaksin coronavirus diteruskan ketika dunia masih bergelut dengan peningkatan kes baru yang mana jumlah terkini telah melebihi 10 juta kes di seluruh dunia.
Firma biofarmasi China, Cansino Biologics Inc pada hari Isnin mengumumkan bahawa vaksin coronavirus (Ad5 – NCoV) yang dibangunkan bersama syarikat penyelidikan tentera telah mendapat kelulusan perubatan ketenteraan khas, dengan tempoh sah satu tahun.
Vaksin tersebut dibangunkan dengan usaha sama CanSino dan Institusi Bioteknologi di bawah Akademi Tentera Sains Perubatan. Syarikat itu sebelum ini mengatakan bahawa Ad5-nCoV telah mendapatkan persetujuan untuk ujian klinikal.
Percubaan klinikal fasa 1 dan 2 untuk Ad5-nCoV telah dilakukan di China. Hasil daripada ujian klinikal keseluruhan menunjukkan vaksin tersebut berpotensi untuk mencegah penyakit yang disebabkan oleh SARS-CoV-2 (Covid-19).
Sementara itu dalam laporan berasingan pada Ahad, China National Pharmaceutical Group (Sinopharm) juga mengumumkan bahawa ia telah memperoleh hasil positif bagi ujian awal ke atas manusia yang dilakukan.
Salah satu institusi China National Biotec Group (CNBG) yang berpusat di Beijing, menyatakan bahawa semua 1,120 sukarelawan dalam ujian klinikal fasa 1 dan 2 berjaya menghasilkan antibodi tahap tinggi terhadap Covid-19 setelah diberikan dua dos vaksin.
Hal ini seterusnya membawa kepada usaha untuk memulakan ujian klinikal fasa 3 yang mana ia telah dipersetujui oleh Emiriyah Arab Bersatu (UAE).
Pakar menyatakan jika percubaan vaksin di luar negara terhadap manusia berjalan lancar, ujian fasa 3 akan dihentikan pada Ogos, dan diikuti dengan pemerhatian perubatan pada September serta pendedahan data pada Oktober. Vaksin seterusnya akan diluluskan untuk dipasarkan sekiranya mendapat hasil positif pada akhir Oktober.