Harga minyak jatuh 30% pada pembukaan dagangan hari ini selepas kegagalan Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) mencapai kesepakatan dengan sekutunya Rusia, berhubung pengurangan pengeluaran.
Pada Jumaat, Rusia telah menolak cadangan pemotongan pengeluaran untuk menstabilkan harga yang terjejas akibat penularan wabak coronavirus yang telah membantutkan aktiviti ekonomi di seluruh dunia.
Menteri Minyak Rusia Alexander Novak malah memberitahu bahawa bermula selepas akhir Mac ini, negara-negara pengeluar adalah bebas untuk menetapkan pengeluaran mereka sendiri.
Kegagalan ini telah mendorong Arab Saudi untuk menurunkan harga dan merancang untuk meningkatkan pengeluaran minyaknya dengan tambahan melebihi 10 juta tong sehari pada bulan depan.
Niaga hadapan minyak mentah Brent jatuh 30% kepada $31.02 setong, manakala WTI Amerika Syarikat turun sebanyak 27% kepada $30 setong, menyebabkan kedua-duanya didagangkan di paras terendah 4 tahun.
Pada Sabtu lalu, Arab Saudi memulakan perang harga dengan menurunkan harga minyak kepada pasaran asing dengan kadar yang banyak dalam tempoh sekurang-kurangnya 20 tahun.
Pembeli di Asia, Eropah dan Amerika Syarikat ditawarkan diskaun yang belum pernah terjadi sebelum ini bagi menarik perhatian syarikat pemprosesan agar membeli minyak dari negara itu meskipun negara pembekal lain akan terjejas.
Tindakan pengeksport minyak terbesar dunia itu berkemungkinan merupakan percubaannya untuk membawa kembali sekutunya ke meja rundingan dan melaksanakan pemotongan pengeluaran jika persetujuan tercapai.
Pembukaan harga pada sesi Asia pagi ini menyaksikan perbezaan (gap) pada carta USD/CAD sehingga 140 pips lebih tinggi berbanding harga ditutup minggu lalu ekoran kejatuhan mendadak harga minyak mentah dalam pasaran.