Mungkin tidak masuk akal, tetapi Facebook benar-benar membayar $120 kepada penggunanya untuk menyahktifkan akaun bermula hujung September ini.
Keputusan itu diambil susulan daripada satu kajian yang dijalankan oleh Facebook, kesan media sosial terhadap pilihan raya presiden Amerika Syarikat (AS) November ini.
Dilaporkan sekurang-kurang 400,000 pengguna akan terlibat di dalam kajian tersebut. Dianggarkan peruntukan syarikat itu bagi memastikan kajian itu berjaya ialah sekitar $50 juta!
Sebelum ini Facebook telah dituduh membawa pengaruh negatif terhadap pilihan raya menerusi pemantauan longgar terhadap kandungan media sosial, mewujudkan laman berita palsu dan membenarkan iklan yang berunsurkan berat sebelah.
Berikutan daripada tuduhan tersebut, Facebook akhirnya akui kekhilafan mereka dan berusaha mengambil langkah berjaga-jaga, termasuk tinjauan berbayar ini.
Berita ini telah tular dalam kalangan penggunanya sejak minggu lalu dan majoriti pengguna laman sosial itu menyambut baik kajian yang dijalankan.
Sekumpulan saintis data bebas akan dipertanggungjawabkan untuk memantau dan menilai sampel kajian. Keputusan kajian itu dijangka keluar pada 2021.
Pada waktu yang sama, pengasas Facebook, Mark Zuckerberg telah membuat pengumuman bahawa platform tersebut akan menyekat sebarang pengiklanan yang berunsurkan politik seminggu sebelum pilihan raya Amerika. Keputusan itu bertujuan untuk menghadkan sebarang penularan maklumat yang tidak sahih.