Keputusan presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menandatangani perintah eksekutif yang menyekat rakyat AS menjalankan perniagaan dengan platform WeChat mula memberi kesan terhadap pasaran Apple Inc di China yang bernilai $44 bilion.
Mana tidaknya, pengguna iPhone di negara itu mula mempertimbangkan penggunaan peranti tersebut setelah keputusan Trump pada minggu lepas. Dikatakan perintah eksekutif itu berkuatkuasa dalam tempoh lima minggu lagi.
Bagi penduduk China, WeChat merupakan keperluan asas dalam kehidupan seharian mereka. Bukan sahaja digunakan untuk komunikasi tetapi juga digunakan untuk pembayaran bil utiliti, pembelian tiket bas dan panggung wayang, serta membeli-belah.
Jika WeChat tidak lagi dibenarkan di dalam peranti tersebut, wajarlah bagi penduduk China terutama pengguna iPhone untuk beralih jenama.
Eksekutif Tencent pada Rabu menjelaskan sekatan oleh Trump itu sah diaplikasikan di AS sahaja dan tidak sepatutnya menjejaskan pasaran Apple di China. Sekatan WeChat turut menjejaskan syarikat AS lain seperti Starbucks Corp dan WalMart Inc untuk berhubung dengan pengguna mereka.
Walau bagaimanapun, pihak Tencent masih berusaha untuk mendalami mesej yang disampaikan pemerintah itu.
Jika benar servis tersebut perlu dihapuskan dari peranti tersebut, penghantaran tahunan iPhone akan susut 23% kepada 30%, sementara peranti lain seperti AirPods, iPad, Apple Watch dan komputer Mac akan susut 15% hingga 25%.
Berdasarkan tinjauan yang dilakukan, majoriti pengguna iPhone di China sanggup beralih produk tempatan yang jauh lebih hebat dengan kelengkapan 5G seperti Xiaomi Corp, Oppo, Vivo dan Huawei.