Seorang lelaki warga Malaysia dilaporkan terlibat dalam aktiviti pemerdagangan organ manusia secara haram, dedah akhbar United Kingdom (UK), The Sun baru-baru ini.
Lelaki terbabit, Shaifullizan Abdul Mutalib didakwa menyediakan pakej pemindahan organ secara haram berharga 85,000 pound kepada rakyat Britain.
‘Bayaran’ perkhidmatannya merangkumi urusan penghantaran penjual organ ke Filipina untuk menjalani operasi di negara itu.
Aktiviti lelaki itu dibongkar menerusi penyamaran yang dilakukan oleh wartawan The Sun. Wartawan terbabit dikatakan mendekati Shaifullizan menerusi iklan yang dimuat naik oleh lelaki tersebut di laman Facebook.
Shaifullizan memberitahu wartawan terbabit, dia sudah terlibat dalam 45 aktiviti penjualan buah pinggang sejak 2010 dan mangsanya kebanyakan adalah golongan miskin yang memerlukan wang segera.
Lelaki itu mendedahkan aktivitinya bermula dalam laman dark web sebelum mengiklankan ‘perkhidmatannya’ di Facebook sejak dua tahun lalu.
Dia beroperasi sepenuhnya di China namun terpaksa menghentikan operasinya pada 2016 selepas mengetahui kebanyakan buah pinggang yang diambil adalah daripada komuniti etnik Uighur yang ditahan di pusat tahanan.
Dedah Shaifullizan lagi, dia menyimpan rekod sebanyak lebih 100 orang pelanggan yang berminat untuk menjual organ mereka di seluruh dunia.
Pemerdagangan organ adalah tidak dibenarkan di Malaysia manakala di bawah undang-undang Filipina, Shaifullizan boleh dijatuhi hukuman penjara 20 tahun.
Susulan laporan itu, Agensi Jenayah Nasional Britain sedang menjalankan siasatan terhadap Shaifullizan.