Setelah meraih keuntungan di paras ketinggian 3 minggu, malangnya dagangan logam kuning kembali menjunam ke bawah paras harga $1,900 per auns ekoran pengukuhan US dolar.
Ketika sesi Asia, logam berharga itu didagangkan di sekitar $1,892 per auns, setelah jatuh 1.7% pada sesi sebelumnya. Sementara niaga hadapan emas pula diperdagangkan pada $1,987 per auns.
Logam kuning itu yang telah mencatatkan peningkatan untuk dua minggu berturut-turut, terus menanggung kerugian untuk hari ketiga minggu ini berikutan peningkatan US dolar telah membantutkan minat belian untuk emas.
Berita mengecewakan daripada usaha pengembangan vaksin Covid-19 dan rundingan pakej rangsangan fiskal AS yang masih menemui jalan buntu telah mendorong pelabur untuk beralih kepada safe-haven US dolar.
Harapan untuk kesepakatan pakej rangsangan AS semakin pudar setelah Speaker Dewan Perwakilan, Nancy Pelosi menolak cadangan White House untuk bantuan $1.8 trilion dengan mengatakan ia jauh lebih sedikit daripada yang diperlukan oleh ekonomi.
Sementara itu, para pemimpin kewangan global pada Selasa mengatakan kejatuhan ekonomi global yang disebabkan oleh coronavirus adalah lebih baik daripada yang dikhuatiri sebelum ini.
Ekonomi Amerika Syarikat dijangka menyusut 4.3% pada tahun 2020, jauh lebih rendah daripada anggaran awal sebanyak 8% pada bulan Jun.