Para pembuat dasar Federal Reserve AS (Fed) memberi indikasi pada pertemuan terbaru mereka bahawa penyesuaian mungkin akan dilakukan dalam program pembelian bon dengan segera ketika bank pusat mencari alternatif lain untuk menyokong ekonomi.
Pada awal pagi Khamis, Fed telah menerbitkan laporan minit mesyuarat dari pertemuan polisi 4-5 November lalu, di mana para pembuat dasar memutuskan untuk kekal dengan kadar faedah tidak berubah pada julat sasaran 0-0.25%.
Menurut laporan minit mesyuarat terbaru, kebanyakan peserta dalam Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) menilai bahawa bank pusat akan meningkatkan atau menyesuaikan program pembelian aset, di mana sebelum ini Fed telah membeli $120 bilion bon Perbendaharaan dan sekuriti yang disokong gadai janji sebulan.
Bank pusat juga dikatakan mungkin boleh memilih untuk meningkatkan pembelian atau memperpanjangkan tempoh bon tersebut.
Walaupun para pembuat dasar mengatakan kadar pembelian semasa membantu menjaga keadaan kewangan yang akomodatif, tetapi mereka menyatakan bahawa perubahan boleh dilaksanakan jika perlu.
Selain itu, para pembuat dasar juga memberi petunjuk bahawa mereka akan menamatkan pembelian bon sebelum mula menaikkan kadar faedah, yang mana ia telah dikurang ke paras hampir sifar awal tahun ini dan dijangka akan kekal sekurang-kurangnya hingga tahun 2023.