Presiden Donald Trump, Naib Presiden Mike Pence dan beberapa pegawai tertinggi White House adalah antara yang terawal akan menerima vaksin coronavirus dengan tujuan untuk mencegah wabak yang boleh melumpuhkan fungsi pemerintahan.
Suntikan vaksin akan ditawarkan kepada pegawai di ketiga-tiga cabang pemerintahan, termasuk pemimpin di White House, Kongres dan Mahkamah Agung. Kakitangan White House yang bekerja berdekatan dengan Trump juga dijangka akan mendapat vaksin.
Bagaimanapun, perincian mengenai siapa, bila dan di mana vaksin masih dalam perancangan yang dijangkakan akan dilancarkan dalam tempoh 10 hari akan datang, menurut sumber dari dua pegawai kerajaan yang mengesahkan rancangan vaksinasi tersebut.
Salah satu tujuan program ini adalah untuk membina keyakinan masyarakat terhadap vaksin.
Bekas presiden Barack Obama, George W.Bush dan Bill Clinton juga secara sukarela mengambil vaksin sebagai bukti keyakinan.
Setakat ini, masih tidak jelas bila Trump akan menerima vaksin tetapi para pembantu mengatakan beliau bersedia mengambil vaksin di depan umum untuk membina keyakinan masyarakat terhadap ubat tersebut. Presiden itu sebelum ini telah disahkan positif Covid-19 pada bulan Oktober.
Pentadbiran Makanan dan Dadah AS (FDA) telah meluluskan vaksin yang dikembangkan oleh Pfizer. Pada hari Ahad, Pusat Pengawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) secara rasmi mengumumkan mereka telah menandatangani cadangan Jawatankuasa Penasihat Amalan Imunisasi untuk melancarkan dos pertama vaksin di Michigan.
Walau bagaimanapun, Trump dalam ciapan terbarunya memberitahu bahawa beliau tidak dijadualkan untuk mengambil vaksin memandangkan beliau pernah dijangkiti wabak itu sebelum ini, tetapi berharap dapat melakukannya pada waktu yang tepat.
Beliau turut menyarankan pekerja-pekerja di White House untuk menunggu lebih lama bagi menerima vaksin dan mengambilnya jika perlu secara khusus.