Agensi perisikan Korea Selatan menggagalkan percubaan Korea Utara untuk menggodam beberapa syarikat pembangun vaksin coronavirus di negara itu.
Ahli Parlimen Korea Selatan, Ha Tae-Keung berkata, agensi perisikan berkenaan iaitu Perkhidmatan Perisikan Nasional tidak menyatakan secara terperinci berapa dan syarikat apa yang menjadi sasar tetapi memaklumkan tiada sebarang perkara buruk berlaku susulan cubaan penggodaman terbabit.
Cubaan penggodaman itu didedahkan ketika Korea Selatan berdepan gelombang ketiga pandemik Covid-19. Hari ini, Korea Selatan mencatatkan sejumlah 569 kes jangkitan baharu dan merupakan hari kedua berturut-turut negara itu merekodkan lebih 500 kes jangkitan.
Bagaimanapun, kadar kematian di Korea Selatan masih lagi rendah selepas hanya satu kematian dicatatkan hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kematian kepada 516 mangsa di negara itu.
Minggu lalu, Microsoft mendedahkan penggodam yang bekerjasama dengan Rusia dan Korea Utara telah cuba menggodam tujuh syarikat farmaseutikal dan penyelidik vaksin di Korea Selatan, Kanada, Perancis, India dan Amerika Syarikat (AS).
Pada Julai lalu, penggodam China didakwa menggodam syarikat bioteknologi Moderna bagi mencuri data yang bernilai.
Menurut para pegawai perisikan, serangan penggodaman berkenaan dilihat sebagai satu usaha untuk mencuri harta intelektual dan bukannya cuba mengganggu penyelidikan vaksin tersebut.
Korea Utara tidak memberikan sebarang respon berhubung dakwaan terbabit.