Setelah dibuka rendah pada awal sesi Asia, dagangan komoditi hitam kembali mencatat kenaikan ketika pasaran memasuki pembukaan sesi Eropah.
Bagaimanapun, pergerakan harga minyak mentah dilihat terbatas dengan dagangan WTI Amerika Syarikat bergelut untuk mempertahankan harga $63 setong.
Sementara niaga hadapan minyak mentah Brent pula diperdagangkan di sekitar harga $66.50 setong.
Pada Jumaat lalu, Menteri Tenaga Rusia, Alexander Novak memberitahu bahawa pengeluar OPEC+ akan mengembalikan pengeluaran minyak pada bulan Mei dan Julai secara beransur-ansur.
Tambah beliau lagi, Kementerian Tenaga Rusia bersedia untuk menyokong pengurangan eksport produk minyak bagi memberi sokongan kepada pasaran domestik. Harga minyak mencatat penyusutan susulan kenyataan tersebut.
Selain itu, harga minyak turut dipengaruhi oleh kebimbangan terhadap peningkatan kes Covid-19 di India dan beberapa negara lain akan mempengaruhi pemintaan minyak mentah disebabkan langkah sekatan yang dilaksanakan.
Dalam pada itu, penurunan ini mungkin turut didorong oleh para pelabur yang mahu mengambil keuntungan selepas menghantar harga minyak meningkat tinggi pada minggu lalu.