Bank of England (BOE) menjadi tumpuan pasaran seterusnya selepas Federal Reserve AS (Fed) mengisyaratkan pengurangan pembelian bon akan bermula tidak lama lagi.
Walaupun telah diperlihatkan dengan data inflasi yang semakin tinggi tetapi pelabur menjangkakan bank pusat akan terus kekal dengan kadar faedah pada 0.10% dan program pembelian bon sebanyak £ 895 bilion.
UK kini mengalami masalah makroekonomi yang sama dengan kebanyakan ekonomi utama, di mana ia perlu berdepan dengan kenaikan inflasi yang tinggi dan pertumbuhan ekonomi yang perlahan.
Kadar inflasi telah meningkat 3.2% pada bulan Ogos, jauh lebih tinggi dari sasaran bank pusat 2%. Kenaikan ini tidak jauh dari ramalan BOE bulan lalu yang dijangka akan meningkat 4% pada tahun ini.
Sektor pekerjaan pula telah mulai pulih, walaupun pada kadar yang tidak rata. Program subsidi pekerjaan oleh kerajaan UK pula akan berakhir pada hujung bulan ini yang mungkin boleh memberi kesan pada laporan pekerjaan pada akan datang.
Jadi, ini mungkin menjadi faktor untuk bank pusat kekal dengan dasar monetari semasa yang longgar.
Buat masa ini, pelabur mungkin akan melihat sekiranya terdapat lebih banyak anggota Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) bersedia untuk menghentikan program pembelian bon pada akhir tahun ini, seperti yang dirancang pada mesyuarat November 2020.
Walaupun begitu, ada juga yang mengharapkan BOE akan menjadi lebih hawkish pada mesyuarat kali ini.
Gabenor Andrew Bailey sebelum ini pernah mengatakan bahawa semasa pertemuan polisi Ogos, sebahagian dari pembuat dasar melihat bahawa ekonomi UK telah cukup sihat untuk menaikkan faedah, sementara sebahagian lagi berpendapat sebaliknya.