Dolar greenback terus meraih pengukuhan pada sesi Eropah menjelang penerbitan data pekerjaan NFP Amerika Syarikat pada malam ini.
Pertumbuhan pekerjaan AS dijangka lebih cepat pada bulan Februari berikutan lebih banyak perniagaan perkhidmatan telah dibuka semula, selain turut dipengaruhi oleh pelancaran vaksin dan bantuan rangsangan oleh kerajaan.
Ekonomi AS dijangka menambah 197,000 pekerjaan pada bulan Februari, setelah mencatat peningkatan sebanyak 49,000 pekerjaan pada Januari. Sementara kadar pengangguran pula diunjurkan tidak berubah pada 6.3%.
Bagaimanapun, pasaran juga berhati-hati memandangkan sebelum ini mereka telah diperlihatkan dengan laporan pekerjaan ADP sektor swasta yang lebih lemah daripada jangkaan.
Data pekerjaan yang lemah akan menyebabkan penurunan saham dan penjualan matawang berisiko. Ini juga bermakna ia positif buat US dolar sebagai safe-haven yang sebelum ini telah meraih manfaat daripada kenaikan hasil bon AS.
Sementara itu, lonjakan US dolar terus mendorong dagangan euro susut ke paras terendah tiga bulan, dengan pasangan matawang EUR/USD mula menguji paras sokongan seterusnya pada 1.90000 pada awal sesi Eropah.
Matawang pound juga menunjukkan penurunan ketara ketika kerajaan terus usaha untuk membuka semula ekonomi dengan memperluaskan program vaksinasi yang kini menghampiri satu pertiga daripada populasi UK.