Matawang euro didagangkan sedikit berubah selepas Bank Pusat Eropah (ECB) mengumumkan akan mula mengurangkan kadar pembelian bon kecemasan coronavirus (PEPP) pada suku akan datang.
Bagaimanapun, pembuat dasar telah mengatakan dengan jelas bahawa perubahan itu adalah ‘recalibration’ dan bukannya ‘tapering’ atau pengurangan kerana perubahan dibuat atas PEPP bukannya program pembelian aset (APP).
Ini menyebabkan matawang euro kurang memberi reaksi terhadap pengumuman ini, dan terus didagangkan di sekitar harga yang sama pada 1.1820 berbanding USD.
Ia juga tidak memberikan panduan berangka untuk tiga bulan ke depan, tetapi tiga sumber yang dekat dengan perbincangan itu mengatakan bahawa pembuat dasar akan menetapkan sasaran bulanan antara €60 bilion hingga €70 bilion, dengan fleksibiliti untuk membeli lebih kurang bergantung kepada keadaan pasaran.
Dolar greenback stabil berbanding kebanyakan matawang utama setelah menyusut pada sesi sebelum ini, dengan indeks dolar didagangkan pada 92.53.
Ini menyusuli penurunan dalam hasil perbendaharaan AS 10 tahun yang susut ke tahap 1.28% selepas lelongan nota perbendaharaan 30 tahun yang mengecewakan semalam.
Jumlah tuntutan pengangguran AS menurun ke tahap terendah sejak pertengahan Mac 2020 dengan catatan sebanyak 310,000 pada minggu lepas lebih baik dari jangkaan pasaran untuk penurunan 335,000.
Sementara itu, matawang pound terus didagangkan lebih tinggi selepas kenaikannya disokong oleh kemerosotan dolar greenback pada Khamis, menyebabkannya kukuh sekitar harga 1.3830.
Matawang komoditi kembali susut selepas mencatatkan kenaikan sederhana, dengan kebimbangan terhadap peningkatan kes coronavirus di Australia membataskan dagangan dolar Aussie.