Data tumpuan sesi Asia menyaksikan jualan runcit Australia mencatatkan bacaan yang memberangsangkan pada bulan Mac, seiring dengan peningkatan dalam keyakinan dan perbelanjaan pengguna dan pelonggaran sekatan di seluruh negara.
Menurut data yang dikeluarkan Biro Statistik Australia (ABS) pada sesi Asia, jualan runcit meningkat 1.4% pada bulan Mac dari penguncupan 0.8% pada Februari, dan mengalahkan jangkaan pasaran untuk kenaikan 1%.
Dengan Bank Pusat Australia (RBA) yang akan mengekalkan dasar monetari semasanya, ekonomi dijangka akan meneruskan pemulihannya yang kuat dari kemelesetan disebabkan oleh Covid-19.
Bagaimanapun, dolar Aussie gagal memanfaatkan peluang kenaikan daripada bacaan yang postif ini, malah susut lebih rendah disebabkan kebangkitan US dolar, selain turut terkesan dengan kejatuhan harga komoditi.
Selain data jualan runcit Australia, pasaran juga diperlihatkan dengan penerbitan data inflasi New Zealand yang melebihi jangkaan dengan meningkat 1.5% pada suku pertama 2021 daripada 1.4% yang dicatatkan dan diramalkan sebelumnya.
Walaupun bacaan data ini kurang mempengaruhi pergerakan dolar kiwi, tetapi matawang itu masih cuba bertahan di sekitar paras ketinggian hampir 4 minggu ketika US dolar kembali mencatatkan kenaikan.
Sentimen pasaran kembali berisiko berikutan kebimbangan terhadap peningkatan mendadak kes Covid-19 di India menyebabkan prospek terhadap ekonomi global untuk pulih dengan cepat bertukar suram.