Setelah dinantikan sejak awal minggu, persoalan para pelabur terjawab selepas data inflasi Amerika Syarikat (AS) telah diterbitkan sebentar tadi yang mengundang pelbagai reaksi dalam pasaran.
Data indeks harga pengguna AS untuk bulan November mencatatkan bacaan lebih rendah berbanding bulan sebelumnya iaitu pada 0.8% daripada 0.9%. Angka tersebut walau bagaimanapun sedikit tinggi berbanding jangkaan untuk susut kepada 0.7%.
Bacaan inflasi teras pula menepati ramalan untuk menurun kepada 0.5% sedikit rendah berbanding catatang pada bulan Oktober.
Sementara bacaan tahunan inflasi pula mencatatkan peningkatan kepada 6.8% seperti yang dijangkakan untuk November, lebih tinggi mengatasi bacaan 6.2% pada Oktober mengikut laporan oleh Biro Statistik Buruh AS.
Susulan data diterbitkan, reaksi awal pasaran memperlihatkan penyusutan bagi nilai US dolar dan kemudiannya menunjukkan tanda-tanda untuk mengukuh semula.
Indeks dolar juga menunjukkan penurunan susulan penerbitan data tumpuan ini yang mempengaruhi pergerakan raja mata wang tersebut.
Penganalisis berkemungkinan berpendapat pelabur bertindak untuk mengambil keuntungan terhadap posisi belian US dolar yang terdahulu sebelum data diterbitkan.
Harga pada carta pasangan utama EUR/USD memaparkan lonjakan harga dari paras sekitar $1.12700 ke paras ketinggian sekitar $1.13100 setakat jam 10 malam, namun harga turut dilihat kembali ditekan untuk susut semula.
Kini tumpuan akan terarah kepada keputusan mesyuarat polisi Federal Reserve (Fed) pada minggu hadapan untuk menilai kadar inflasi dan merencanakan tindakan untuk langkah pengetatan dasar yang diumumkan sebelum ini.