Peningkatan dalam bekalan minyak mentah Amerika Syarikat pada minggu lalu menambah kedukaan buat dagangan komoditi hitam untuk terus didagangkan suram pada sesi Asia hari ini.
Institut Petroleum Amerika (API) melaporkan kenaikan sebanyak 7.35 juta tong dalam stok minyak mentah AS pada minggu lepas, menyusuli peningkatan 1.026 juta tong pada minggu sebelumnya.
Pada pembukaan sesi Asia, niaga hadapan minyak mentah WTI Amerika Syarikat susut 18 sen pada $59.57 setong, sementara minyak mentah Brent pula didagangkan merosot 7 sen pada $62.63 setong.
Kedua-dua penanda aras minyak mentah telah susut sejak akhir minggu lalu disebabkan kegelisahan pasaran terhadap keputusan mesyuarat OPEC+ yang akan berlangsung pada hari Khamis.
Sumber OPEC+ minggu lalu mengatakan peningkatan output sebanyak 500,000 tong sehari kelihatan mungkin akan dilaksanakan.
Pemotongan secara sukarela oleh Arab Saudi sebanyak 1 juta tong sehari dijadualkan berakhir pada bulan April, dan setakat kini masih belum jelas sama ada ia meneruskan pengurangan tersebut.