Harga emas cuba mempertahankan kedudukannya di atas paras $1,800 per auns, di tengah-tengah kelemahan US dolar selepas keterangan Pengerusi Federal Reserve (Fed), Jerome Powell mengenai dasar monetari semasa.
Menjelang pembukaan sesi pasaran Eropah, logam berharga emas diniagakan berlegar di sekitar harga $1,807 per auns, sementara niaga hadapan emas pula sedikit lemah pada $1,806 per auns (2.30 petang waktu Malaysia).
Powell yang memberi keterangan di hadapan Jawatankuasa Perbankan Senat AS pada Selasa, memberitahu dengan jelas bahawa tidak akan ada kenaikan kadar faedah atau penurunan pada masa akan datang.
Bagi menyokong kenyataannya, beliau turut menambah bahawa dasar monetari semasa masih diperlukan untuk membantu pemulihan ekonomi yang dilihat bergelora dan masih jauh lagi untuk dicapai.
Kenyataan ini telah menyebabkan dolar greenback terus didagangkan lemah berbanding pesaing utamanya, sementara penanda aras hasil perbendaharaan AS 10 tahun juga menyusut.
Dalam pada itu, Dewan Perwakilan AS dilaporkan akan mengundi pakej rangsangan $1.9 trilion Presiden Joe Biden pada hari Jumaat yang dijangka akan mendapat kelulusan mudah sebelum ia diserahkan kepada Senat untuk diundi.