Tengahari tadi Binance Coin (BNB) telah mencatatkan paras tertinggi sepanjang masa (ATH) terbaharu, ke paras $576 di pertukaran Binance.
Secara tidak langsung, token ini berjaya membuktikan kebolehannya dengan lonjakan hampir 1,500% sejak awal 2021.
Pada rekod tersebut, BNB sebenarnya telah mencapai 35% daripada nilai pasaran Ethereum. Ini bermakna, token itu perlu melonjak lebih tinggi tiga kali ganda untuk mengatasi pesaing utamanya.
Binance Smart Chain telah menjadi pilihan utama sebagai alternatif Ethereum kerana kosnya yang rendah dengan aplikasi seperti PancakeSwap mendahului Uniswap sebagai yang terunggul di DEX (decentralized exchanges).
Menyokong kepada kedudukan BSC yang semakin mengukuh dalam sektor kripto, pengkaji di Messari, Ryan Watkins menyifatkan kemenangan itu bukan bergantung kepada inovasi teknologi rangkaiannya tetapi adalah kerana cirinya yang berpusat.
Binance telah mendapat sokongan kuat dan pengaruh yang kukuh dari seluruh ekosistem, dan digunakan manfaat itu untuk menghubungkan lambakan pengguna baru dalam DeFi.
“Binance juga patuh dengan masa. Disebabkan itu BSC menang.” ujarnya melalui kicauan yang dimuatnaik di laman Twitter.
Ketika penulisan, BNB didagangkan pada $566.52, melonjak lebih 19% dalam 24 jam.