Harga minyak mentah sedikit susut pada sesi dagangan awal minggu didorong oleh kebimbangan terhadap permintaan bahan global yang mungkin terjejas susulan pelaksanaan sekatan pergerakan baru di China.
Penanda aras minyak mentah Brent jatuh 1.2% pada $55.32 setong, selepas melonjak ke paras ketinggian 11 bulan pada $56.39 setong.
Sementara, WTI Amerika Syarikat jatuh 0.8% pada $51.82 setong, setelah meningkat di atas paras harga $52 setong ketika ditutup pada Jumaat.
Para pelabur pada mulanya menyambut baik perkhabaran menggembirakan daripada pentadbiran Biden yang akan mengambil alih White House pada 20 Januari untuk melaksanakan rangsangan lebih besar.
Presiden terpilih Joe Biden akan mengemukakan cadangan minggu ini untuk melaksanakan bantuan rangsangan bernilai trilion dolar dalam usaha beliau bagi memerangi kesan pandemik terhadap ekonomi.
Namun begitu, peningkatan semula kes coronavirus di China dengan mencatat kenaikan harian terbesar dalam tempoh lebih 5 bulan, telah menimbulkan kebimbangan baru buat pasaran minyak mentah.
Shijiazhuang, ibu kota Hebei kini di bawah sekatan pergerakan, di mana rakyat dan kenderaan dilarang meninggalkan bandar itu untuk membendung penularan wabak.