Citigroup Inc. mengumumkan akan menawarkan perdagangan niaga hadapan bitcoin terhadap beberapa klien institusi.
Buat masa sekarang firma perbankan gergasi ini hanya perlukan ‘lampu hijau’ daripada pihak penyelia sebelum mulakan perdagangan tersebut di Chicago Mercantile Exchange (CME).
Menurut Citigroup, keputusan yang diambil adalah untuk memenuhi kehendak klien yang mahukan pendedahan matawang kripto ketika aset Satoshi Nakamoto mencatatkan peningkatan harga ke paras lebih $50,000 awal minggu ini.
Ini merupakan kali pertama Bitcoin (BTC) mencatatkan kenaikan harga melepasi $50,000 selepas keruntuhan pasaran pada pertengahan Mei.
Jika usaha ini diluluskan, Citigroup akan menjadi institusi kedua selepas Goldman Sachs yang juga menawarkan perdagangan niaga hadapan bitcoin pada Mei lalu.
Berdasarkan sumber dalaman firma itu, ada sentimen optimis yang pihak penyelia akan meluluskan perdagangan niaga hadapan dan mungkin selepas ini akan meluluskan exchange-traded notes (ETN) bitcoin.
Pada masa yang sama, dikhabarkan Citigroup sedang membuat peluang pekerjaan secara besar-besaran bagi mengisi kekosongan kumpulan yang menfokuskan kripto di cawangan London.