Jualan runcit UK meningkat sedikit pada bulan Disember, namun malangnya, angka yang dicatatkan adalah jauh lebih rendah daripada dijangkakan pasaran.
Menurut data yang dikeluarkan Pejabat Statistik Nasional (ONS), jualan runcit UK meningkat 0.3% pada bulan berbanding jangkaan 1.2% dan penguncupan 3.8% yang dicatatkan sebelum ini.
Secara tahunan, penjualan runcit UK meningkat 2.9% pada bulan Disember berbanding jangkaan 4.0% dan 2.4% sebelumnya, sementara penjualan runcit teras pula menokok 6.4% pada bulan yang dilaporkan berbanding jangkaan 7.0% dan sebelumnya 5.6%.
Angka-angka tersebut, melemahkan kenyataan Bank of England (BOE) yang sebelum ini menyatakan ekonomi sedang menyesuaikan diri dengan keadaan pandemik dan ia mungkin terkesan dengan sekatan coronavirus lebih ketat yang dilaksanakan sejak awal bulan ini.
Susulan itu, matawang pound yang telah pun terkesan akibat kebangkitan semula US dolar sejak awal sesi, susut lebih rendah dengan didagangkan di sekitar paras harga 1.366000.
Tumpuan pelabur sesi Eropah ketika ini beralih kepada data PMI pembuatan dan perkhidmatan yang akan diterbitkan petang ni bagi menentukan tahap kesihatan ekonomi di Zon Eropah dan UK susulan perlaksanaan sekatan baru.