US dolar susut lebih rendah ketika dagangan memasuki sesi Eropah, dengan tumpuan pasaran kini terarah kepada keterangan calon Setiausaha Perbendaharaan AS, Janet Yellen di Capitol Hill pada hari ini.
Berbanding kebanyakan matawang utama, indeks dolar didagangkan menyusut pada 90.57, dipacu oleh sentimen pasaran yang lebih baik.
Calon pilihan Presiden Joe Biden, Yellen akan memberi keterangan di Kongres sebagai sebahagiaan daripada perbicaraan pengesahannya sebagai Setiausaha Perbendaharaan.
Berdasarkan nota ucapannya yang sudah siap, Yellen dijangka akan bercakap mengenai dasar pertukaran asing dan pakej bantuan rangsangan Covid-19.
Selain itu, pasaran turut menantikan pelantikan rasmi Joe Biden sebagai Presiden AS baru, dan terdapat ketidakpastian yang tinggi mengenai perintah eksekutif pertamanya, di mana beliau dijangka akan membatalkan projek saluran paip Keystone XL dari Kanada.
Para pelabur perlu memberi perhatian dan bersiap sedia sekiranya Biden meneruskan rancangannya untuk membatalkan kelulusan projek ini yang pastinya memberi tamparan besar buat industri minyak Kanada dan juga dolar loonie.
Sementara itu, matawang euro melonjak lebih tinggi seiring dengan penyusutan dolar greenback dengan tumpuan pasaran ketika ini difokuskan kepada penerbitan data sentimen Jerman tinjauan ZEW petang ini.
Dagangan pound sterling memperpanjangkan pemulihan dari sesi sebelum ini di atas 1.36000, namun masih didagangkan di bawah tekanan berikutan kebimbangan mengenai isu perjanjian Brexit.
Perdana Menteri UK Boris Johnson berjanji untuk memberi bantuan £ 23 juta kepada pengeksport perikanan yang terkesan akibat Brexit. Daily Express sebelum ini melaporkan pengeksport UK dijangka mengalami kerugian £ 28 juta pada tahun ini.