Lebih dari satu perlima pengeksport kecil Britain menghentikan sementara penjualannya ke Kesatuan Eropah (EU) dan 4% daripadanya melakukannya secara kekal, menurut satu tinjauan yang dilaporkan oleh Reuters dalam menyoroti masalah yang berlaku setelah perjanjian perdagangan Brexit.
Perjanjian perdagangan antara UK dan EU yang berkuatkuasa pada 1 Januari telah menyebabkan gangguan dan kelewatan bagi beberapa syarikat yang perlu berurusan dengan birokrasi dan peraturan baru, selain turut menanggung peningkatan kos.
Dalam tinjauan oleh Persekutuan Perniagaan Kecil (FSB), 30 daripada 132 pengeksport mengatakan bahawa mereka telah menghentikan penjualan ke EU buat sementara waktu, sementara lima lagi melaporkan telah menghentikannya secara kekal.
Kerajaan sebelum ini mengatakan bahawa beberapa masalah yang timbul hanya bersifat sementara dan ia berusaha untuk menyelesaikannya.
Barangan eksport Britain ke EU, tidak termasuk emas dan logam berharga lain dilaporkan telah mengalami kejatuhan sebanyak 40.7% pada bulan Januari berbanding yang dicatatkan pada Disember, sementara import jatuh sebanyak 28.8%, lapor Pejabat Statistik Negara (ONS).
Sebagai tindak balas kepada angka-angka tersebut, ketua perunding Brexit, David Frost memberitahu dengan gabungan beberapa faktor menjadikan situasi ini tidak dapat dielakkan daripada berlaku.