Emas menjunam lebih rendah ke paras terendah empat minggu di tengah-tengah pengukuhan US dolar pada permulaan dagangan awal minggu.
Spot emas diperdagangkan rendah di sekitar paras harga $1,833 per auns (11.05 pagi waktu Malaysia) selepas menyentuh paras terendah satu bulan pada $1,817 per auns ketika awal sesi Asia.
Lonjakan lebih tinggi dalam hasil bon AS 10 tahun terus mendorong pengukuhan buat dolar greenback berbanding kebanyakan matawang utama. US dolar yang lebih kuat menjadikan logam berharga emas lebih mahal bagi pemegang matawang lain.
Pada hujung minggu, Presiden terpilih Joe Biden telah berjanji akan melaksanakan rangsangan lebih besar dengan nilai trilion dolar untuk memerangi kesan pandemik terhadap ekonomi.
Hal ini sekali gus meningkatkan keyakinan pelabur terhadap pertumbuhan ekonomi Amerika Syarikat yang lebih kuat.
Namun begitu, momentum pengukuhan US dolar ini mungkin tidak kekal memandangkan perlaksanaan langkah rangsangan yang lebih besar juga bermaksud hutang negara juga meningkat, yang akan mendorong pelabur kembali mendapatkan emas untuk berlindung daripada risiko inflasi.