Ekonomi Jepun berkembang lebih dari dijangkakan pada suku keempat, memperpanjangkan pemulihan dari kemelesetan terburuknya, disokong oleh pemulihan permintaan luar negara yang mendorong peningkatan eksport dan pelaburan perniagaan.
Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Jepun meningkat 3% pada suku keempat 2020, mengalahkan jangkaan pasaran untuk pengembangan sebanyak 2.3%, menurut anggaran awal yang diterbitkan pada awal sesi Asia.
Pertumbuhan ini didorong oleh peningkatan dalam perdagangan terutamanya dari China, pengembangan terkuat dalam pelaburan perniagaan dalam tempoh lebih lima tahun dan kenaikan perbelanjaan isi rumah yang dibantu oleh subsidi kerajaan untuk perjalanan dan makan di luar.
Bagaimanapun, bacaan yang dicatatkan juga menunjukkan pemulihan berkurang dari pertumbuhan yang direkodkan pada suku ketiga yang disemak semula iaitu, pengembangan sebanyak 5.3%.
Dengan pertumbuhan yang dicatatkan ini, ia boleh menjadi faktor utama yang dinilai oleh kerajaan untuk membatalkan keadaan darurat di Jepun, memandangkan angka kes harian juga telah menunjukkan penurunan.
Secara keseluruhan, KDNK Jepun menguncup 4.8% pada tahun 2020, menandakan penguncupan pertama sejak kejatuhan 5.7% yang dilihat ketika krisis kewangan global pada 2009.
Susulan daripada kelulusan vaksin Covid-19 pertama pada hari Ahad dan proses vaksinasi akan bermula minggu ini, pasaran mengharapkan pemulihan ekonomi Jepun akan kembali ke landasan yang lebih kukuh.