Team Intraday pernah memberi gambaran ringkas perbezaan antara Bitcoin (BTC) dan Litecoin (LTC).
Berbeza kali ini apabila CNBC telah menjemput pengasas Litecoin, Charlie Lee untuk mempromosikan projek tersebut kepada capaian yang lebih luas.
Walaupun secara dasarnya Litecoin merupakan cerminan Bitcoin dalam versi yang lebih ‘lite’, tetapi masih wujud perbezaan antara kedua-dua matawang kripto ini terutamanya Litecoin menggunakan Proof of Work (PoW) Scrypt terbaru berbanding Bitcoin yang masih menggunakan SHA-256.
Menariknya dalam perkongsian Lee kali ini, figura itu ada menjelaskan bagaimana kesesakan rangkaian Bitcoin boleh menyebabkan kos transaksi yang mahal.
“Blockchain Bitcoin sesak. Disebabkan itu, semua orang bersaing untuk membuat transaksi mereka. Jadinya mereka perlu bersaing dengan membayar kos yang lebih tinggi kerana pelombong akan mengutamakan transaksi yang mahal.”
Litecoin pula sangat berbeza dengan bandwidth yang lebih besar dan kurang sesak, menyebabkan rangkaian itu antara yang menawarkan kos terendah dalam sektor tersebut. Berdasarkan rekod bitinfocharts.com, kos semasa ialah pada $0.046.
Sebenarnya, jemputan CNBC kali ini merupakan satu peluang besar kepada Lee untuk mempromosikan Litecoin yang semakin ditenggelami dengan projek-projek token lain yang lebih hebat.
Kalau ada yang berminat untuk mengetahui lebih banyak perbezaan antara Litecoin dan Bitcoin, kalian boleh baca artikel ini.
Ketika penulisan, BTC didagangkan pada $55,001, melonjak lebih 1% dan LTC mencatat nilai pada $258 dengan lonjakan lebih 3%.