Pergerakan emas menjelang dagangan hujung minggu semakin rancak selepas logam berharga itu menunjukkan lonjakan dan junaman pada sesi New York.
Apa sebenarnya yang merangsang pergerakan naik turun yang ketara logam kuning ini?
Emas susut rendah selepas data pertumbuhan ekonomi bagi suku keempat dan laporan tuntutan pengangguran Amerika Syarikat menunjukkan bacaan yang lebih baik dari jangkaan.
Ekonomi AS meningkat 4.3% berbanding jangkaan 4.1%, sementara tuntutan pengangguran jatuh ke tahap paling rendah dalam tempoh satu tahun. Ini menunjukkan ekonomi AS berada di jalan yang betul ke arah pemulihan
Tidak lama selepas itu, harga emas kembali melantun ke paras tertinggi satu minggu, mencecah $1,745 per auns.
Bagaimanapun, kenaikan yang dicatatkan tidak bertahan lama selepas kenyataan Pengerusi Federal Reserve (Fed), Jerome Powell dan mendorong harga emas kembali menjunam lebih rendah.
Powell yang bercakap pada NPR Morning Edition memberi isyarat kemungkinan beliau akan menarik semula pembelian aset di samping turut memuji mengenai kemajuan yang dipamerkan dalam ekonomi.
Beliau memberitahu bahawa ketika kemajuan terus menuju ke arah sasaran Fed, mereka secara beransur-ansur akan mengurangkan pembelian bon kerajaan dan sekuriti gadai janji. Ini merupakan kali pertama Powell menyebut mengenai pengurangan rangsangan.
Dengan optimisme terhadap pemulihan AS yang lebih baik, pelabur mula melepaskan pegangan terhadap emas. Pada sesi Asia, emas diperdagangkan rendah di sekitar harga $1,724 per auns.