Emas didagangkan sedikit lebih tinggi pada sesi Asia selepas menjunam ke tahap terendah tiga minggu susulan hasil perbendaharaan AS yang meningkat.
Ketika penulisan, spot emas diniagakan sedikit menokok pada $1,792 per auns, bangkit dari paras terendah $1,788 yang disentuhnya pada sesi sebelum ini. Sementara niaga hadapan emas pula positif pada $1,793 per auns.
Peningkatan ini mungkin disokong oleh data indeks harga perbelanjaan penggunaan peribadi teras (PCE) yang mengesahkan inflasi berada di tahap tertinggi 30 tahun.
Walaupun meningkat, tetapi logam kuning itu masih dilanda kebimbangan mengenai pengetatan dasar lebih cepat daripada bank pusat AS, apatah lagi selepas laporan minit mesyuarat FOMC yang terbaru juga menunjukkan Federal Reserve (Fed) bersedia untuk melakukannya.
Sementara itu, pasaran pekerjaan AS juga menunjukkan perkembangan positif, di mana jumlah tuntutan pengangguran jatuh ke paras terendah sejak 1969 pada minggu lalu.
Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pula sedikit perlahan daripada dijangkakan, tetapi meningkat daripada bacaan yang dianggarkan sebelum ini untuk suku ketiga.
Dengan pendirian hawkish Fed untuk mengetatkan dasar lebih cepat, harga emas mungkin akan terus berada dalam tekanan.