Logam kuning emas menyentuh paras tertinggi hampir dua minggu pada awal sesi Asia di tengah penyusutan US dolar dan hasil bon AS menjelang penerbitan laporan NFP pada minggu ini.
Ketika penulisan, emas didagangkan berlegar pada $1,760 per auns, sedikit susut dari paras harga $1,765 yang dicatatkan pada pembukaan dagangan sesi Asia. Sementara niaga hadapan emas pula didagangkan pada $1,759 per auns.
Dolar greenback menyusut pada akhir dagangan minggu lalu susulan pengambilan untung oleh pelabur setelah memacu kenaikan matawang gergasi itu ke paras ketinggian satu tahun.
Penerbitan laporan pekerjaan NFP Amerika Syarikat pada Jumaat akan menjadi tumpuan utama pasaran minggu ini, di mana ia dijangka akan menunjukkan kenaikan pada bulan September.
Sekiranya bacaan yang dicatatkan positif, ia akan meningkatkan lagi harapan buat pelabur untuk Federal Reserve (Fed) meneruskan rancangan pengurangan pembelian aset pada November.
Presiden Fed Cleveland, Loretta Mester memberitahu pada Jumaat bahawa syarat untuk bank pusat menaikkan kadar faedah akan dicapai pada akhir 2022 dan beliau juga menjangkakan inflasi akan menemui sasaran pada tahun depan.