Pelabur menjauhkan diri dari meletakkan posisi besar menjelang penerbitan data pekerjaan NFP AS yang bakal dijadikan petunjuk untuk garis masa pengurangan rangsangan oleh Federal Reserve (Fed).
Spot emas diniagakan berlegar pada $1,760 per auns pada sesi Asia, manakala niaga hadapan emas pula diperdagangkan pada $1,759 per auns.
Walaupun pergerakan USD dilihat lemah, tetapi logam berharga itu gagal memanfaatkan peluang untuk meningkat lebih tinggi.
Hal ini kerana, hasil bon AS 10 tahun yang lebih tinggi telah membantutkan pergerakan logam kuning itu. Hasil perbendaharaan naik menghampiri tahap 1.6% pada sesi Asia, iaitu paras tertinggi pernah dicatatkan sejak awal Jun.
Pasaran menjangkakan ekonomi AS akan menambah sebanyak 500,000 pekerjaan pada bulan September. Ini disokong lagi oleh beberapa siri data yang dikeluarkan minggu ini, yang menunjukkan bacaan positif.
Fed sebelum ini telah mengisyaratkan bahawa pengurangan pembelian bon dapat dilaksanakan secepatnya pada November sekiranya laporan pekerjaan September memuaskan.
Pengurangan rangsangan dan kadar faedah yang lebih tinggi akan meningkatkan hasil bon, yang akan menjadikan kos peluang untuk memegang emas juga meningkat.