‘Tembok besar China‘ Evergrande berlubang dan ‘Kota larangan‘ Kaisa bergolak.
Saham Evergrande Group China mencapai paras terendah pada Rabu apabila ia sekali lagi terlepas tarikh akhir pembayaran hutangnya sekaligus meletakkan firma tersebut dalam risiko menjadi syarikat terbesar China yang dikenakan status default walaupun terdapat rancangan penstrukturan semula hutang yang meredakan kekalutan.
Setakat ini, sebarang kejatuhan Evergrande telah dibendung secara meluas dan penggubal dasar menjadi lebih lantang selain pasaran lebih tertumpu pada isu tersebut kerana akibat masalahnya akan dirasai secara meluas.
Kegagalan Evergrande untuk membuat bayaran faedah sebanyak US$82.5 juta yang perlu dibayar bulan lepas pada beberapa bon dolar Amerika Syarikat (AS) akan mencetus default pada bon antarabangsanya yang berjumlah US$19 bilion yang berkemungkinan terkesan terhadap ekonomi China.
Dalam pada itu, Kaisa Group Holdings telah digantung pada Rabu menurut seorang sumber yang menyatakan firma tersebut melepasi tarikh akhir hutang offshore bernilai US$400 juta pada Selasa.
Kaisa masih belum membayar balik bonnya sebanyak 6.5% menjelang waktu akhir sesi dagangan Asia yang boleh mendorong firma tersebut dikenakan status default sekaligus mencetus default pada bon offshore berjumlah US$12 bilion.
Saham Evergrande susut 1.6%pada HK$1.80 selepas mencapai paras terendahnya HK$1.78 yang dicatat semasa debutnya pada 2009.
Bon Kaisa yang perlu dibayar pada April 2022 didagangkan pada 36.906 sedikit meningkat daripada hari sebelumnya namun turun daripada 37.89 minggu lepas.
Evergrande pernah menjadi pemaju hartanah terkemuka China dengan lebih daripada 1,300 projek hartanah namun dengan liabiliti US$300 bilion, ia kini berada di tengah-tengah krisis hartanah di China yang telah menghancurkan hampir sedozen firma yang lebih kecil.
Kerajaan telah berulang kali berkata masalah Evergrande boleh dibendung dan bergerak untuk meningkatkan kecairan dalam sektor perbankan bersama-sama dengan rancangan firma untuk meneruskan penstrukturan semula hutang luar negaranya bagi membantu meyakinkan pelabur global.