Firma di sebalik keunggulan Cardano, Input Output Hong Kong (IOHK) bakal melancarkan penukar (converter) baharu yang mana membolehkan penggunanya untuk membawa token ERC20 ke blockchain Cardano.
Token ERC20 adalah standard token yang dibangunkan di rangkaian Ethereum.
Keputusan ini diambil setelah Cardano mendapati penukaran dan penggunaan token ERC20 atau aset yang dikeluarkan di rangkaian Ethereum terlalu perlahan dan mahal.
Manakan tidak, konsep konsesus Proof of Work (PoW) yang dibangunkan adalah terhad di rangkaian tersebut. Kelajuan transaksi direkod perlahan, cuma 15 transaksi sesaat dan kos pula terlalu tinggi dengan rekod tertinggi $200 pada minggu lepas.
Wujudnya penukar baharu ini, pengeluar dan pemegang token yang berminat untuk memindahkan token mereka ke Cardano, lebih mudahlah untuk memindahkan standard token ERC20 ke rangkaian Cardano.
Token ERC20 yang telah ‘ditukarkan’ akan tampil sebagai token natif istimewa di rangkaian Cardano, memiliki nilai dan beroperasi sama seperti token ERC20. Jika pemilik token itu mahu membawa semula token tersebut ke rangkaian Ethereum, pengguna hanya perlu membakarnya di Cardano dan menggunakan token asal seperti biasa di rangkaian tersebut.
SingularityNET (AGI) akan menjadi token pertama yang diuji dengan penukar ERC20 secara rasmi. Token yang telah ditukarkan dikenali sebagai AGIX.
Ketika penulisan, Cardano (ADA) didagangkan pada $1.74, susut hampir 18% dalam 24 jam. Nilai pasaran bagi aset ini mencecah lebih $58 bilion.