Kenyataan Pengerusi Federal Reserve (Fed), Jerome Powell telah mendorong kejatuhan ketara buat dagangan dolar greenback selepas beliau menolak kemungkinan untuk mengurangkan pembelian bon bulanannya.
Powell yang berucap dalam sebuah simposium web dengan Princeton University, memberitahu bahawa Amerika Syarikat masih jauh dari sasaran inflasi dan pekerjaannya, jadi masih terlalu awal bagi Fed membincangkan perubahan dalam program pembelian bon.
Tambah Powell lagi, bank pusat sangat berkomitmen untuk menggunakan alat dasar monetari sehingga sektor pekerjaan pulih dengan baik.
Ini sekali gus menolak cadangan terbaru dari beberapa rakannya bahawa Fed mungkin mempertimbangkan untuk mengurangkan pembelian bonnya menjelang akhir tahun ini sekiranya vaksin dapat membantu pemulihan ekonomi.
Hasil bon Perbendaharaan 10 tahun penanda aras susut sedikit susulan kenyataan Powell dan mendorong kemerosotan US dolar berbanding kebanyakan matawang utama ketika sesi New York.
Bagaimanapun, matawang itu kembali mendaki pada sesi Asia hari ini dengan tumpuan pasaran terarah kepada Presiden Joe Biden yang sedang berucap mengenai pelan rangsangan coronavirus beliau yang bernilai $1.9 trilion untuk menyokong ekonomi yang terjejas.
Kejatuhan dolar greenback telah memberi ruang buat matawang pound untuk melonjak menembusi paras ketinggian terbaru pada 1.37100 pada sesi sebelum ini.