Harga emas terus menjauh dari paras ketinggian dua setengah bulan dengan merosot lebih rendah pada Selasa ketika raja matawang US dolar kembali memaparkan kenaikan.
Memasuki sesi Eropah, spot emas diniagakan 0.4% lebih rendah pada $1,816 per auns, sementara niaga hadapan emas juga susut di sekitar harga $1,819 per auns.
Walaupun susut, tetapi emas masih bertahan di atas paras harga $1,800 per auns dengan sokongan oleh bacaan laporan pekerjaan NFP Amerika Syarikat yang mengecewakan pada akhir minggu lalu.
Dolar greenback pula sedikit meningkat berbanding kebanyakan matawang utama tetapi dengan kenaikan sederhana, bangkit dari paras terendah satu bulan yang dicapainya pada Jumaat.
Beberapa mesyuarat polisi pada minggu ini menjadi tumpuan pasaran, yang akan menyaksikan Bank Pusat Eropah (ECB) dan Kanada (BOC) mengumumkan keputusan dasar monetari mereka.
Emas cenderung meningkat sekiranya bank pusat mengambil pendekatan dovish dengan terus mengekalkan langkah rangsangan besar-besaran mereka.
Reserve Bank of Australia (RBA) telah mengekalkan rancangan mereka untuk mengurangkan pembelian bon tetapi melanjutkannya sehingga Februari tahun depan.
Walaupun keputusan RBA untuk mengurangkan pembelian dilihat hawkish tetapi perpanjangan dalam tempoh pelaksanaan melihatkan bank pusat tersekat dalam ketidakpastian akibat Covid-19.