Harga minyak melanjutkan kenaikan minggu ini dengan mencecah paras ketinggian terbaru 13 bulan pada awal sesi Asia, ketika cuaca sejuk melampau di Texas menjejaskan pengeluaran minyak mentah.
Penanda aras minyak mentah Brent naik 1.5%, kepada $65.27 setong, menyentuh paras tertinggi sejak 20 Januari 2020. Sementara niaga hadapan minyak mentah WTI Amerika Syarikat pula menokok 1.2%, kepada $61.90 setong, iaitu paling tinggi sejak 8 Januari 2020.
Kedua-dua penanda aras meningkat sekitar $ 1 pada hari Rabu dan telah meningkat lebih daripada 6% sejak penutupan Khamis lalu.
Harga minyak melonjak di atas $60 setong awal minggu ini setelah cuaca sejuk melampau di Texas dan kawasan sekitarnya telah menyebabkan gangguan bekalan elektrik dan membebankan aktiviti pengeluaran.
Sementara itu, data terbaru yang diterbitkan Institut Petroleum Amerika (API) menunjukkan penurunan ketara dalam bekalan minyak mentah AS juga memberi sokongan buat harga minyak untuk naik lebih tinggi hari ini.
Stok minyak mentah AS jatuh 5.8 juta tong pada minggu lalu setelah mencatatkan penurunan sebanyak 3.5 juta pada minggu sebelumnya.
Harga minyak meningkat sejak beberapa minggu kebelakangan ini dengan harapan untuk rangsangan AS dan ketika bekalan global berkurang, di mana sebahagian besarnya disebabkan oleh pemotongan pengeluaran dari Organisasi Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan sekutunya, OPEC+.
Bagaimanapun, menurut kenyataan terbaru dari sumber OPEC+, kumpulan itu mungkin akan mula melonggarkan komitmen pengurangan bekalan selepas April memandangkan harga mula pulih.