Raja matawang US dolar kembali didagangkan stabil setelah menyusut dari paras ketinggian tiga bulan pada sesi sebelum ini, yang diheret jatuh bersama-sama kemerosotan dalam hasil bon AS.
Pada pembukaan sesi Asia, indeks dolar stabil berbanding kebanyakan matawang utama lain pada 92.40.
Hasil bon AS 10 tahun kembali menunjukkan kenaikan ke tahap 1.31%, selepas menjunam ke paras terendah 1.26% sebelum ini.
Kemerosotan dalam hasil bon telah memberi manfaat buat matawang safe-haven yen dan swiss franc untuk melonjak tinggi, tetapi tidak US dolar.
Ini kerana, penyusutan tersebut menunjukkan bahawa keyakinan pelabur terhadap pemulihan ekonomi yang kuat kembali pudar, berikutan penularan Covid-19 yang semakin meningkat. Kebimbangan ini turut ditambah oleh bacaan data terbaru mula menunjukkan tanda-tanda kelemahan.
Antaranya adalah kenaikan yang tidak dijangka dalam tuntutan pengangguran AS, aktiviti perkhidmatan yang lemah dan kadar pengangguran kembali meningkat. Susulan itu, Fed mungkin akan menunggu lebih lama untuk mula mengurangkan pembelian aset.
Matawang euro bertahan pada kenaikan sebelumnya setelah Bank Pusat Eropah (ECB)menetapkan sasaran inflasi baru dan menuntut peranan dalam memerangi perubahan iklim daripada kajian strategi yang dilakukannya sejak tahun lepas.
Matawang berkaitan komoditi terus didagangkan lebih rendah, dengan dolar Aussie dan kiwi masing-masing melemah di paras terendah tujuh bulan berbanding US dolar pada sesi Asia.